fbpx

11 Perkara Yang Anda Suka Tentang Cukai Dalam Belanjawan 2020

1. CUKAI KEUNTUNGAN HARTA TANAH

-Penentuan harga perolehan hartanah yang dimiliki sebelum 1 Jan 2013 adalah harga pasaran hartanah tersebut pada 1 Jan 2013

-Sebelum ini bagi hartanah yang dibeli sebelum 1 Jan 2000 maka ianya akan mengambilkira harga pasaran hartanah pada tarikh 1 Jan 2000 sebagai harga pemilikan atau harga kos.

-Cadangan baru ini akan mengurangkan amaun cukai keuntungan hartanah yang perlu dibayar terutamanya bagi hartanah yang telah dimiliki sebelum 1 Jan 2000.

-Sebagai contoh Ali membeli sebidang tanah pada tahun 1990 dengan harga RM500,000. Pada Jan 2020, Ali menjual tanah tersebut dengan harga RM RM 2,000,000.

-Harga pasaran pada 1 Jan 2000 adalah RM 1,000,000 manakala harga pasaran bagi 1 Jan 2013 pula adalah RM 1,600,000. Berikut adalah pengiraan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) tanpa mengambilkira lain-lain kos yang layak ditolak.

Sebelum Bajet 2020 :
RM 2,000,000 – RM 1,000,000 = RM 1,000,000
CKHT = RM 1,000,000 x 5% : RM 50,000

Selepas Bajet 2020
RM 2,000,000 – RM 1,600,000 = RM 400,000
CKHT=RM 400,000 x 5% : RM 20,000

-Ia menghasilkan penjimatan CKHT berjumlah RM30,000. Justeru langkah ini mungkin boleh merancakkan pasaran hartanah di negara ini.

-Bayangkan penjimatan daripada cadangan bagi sesebuah syarikat yang pastinya lebih besar implikasinya kerana kadar minimum cukainya adalah 10%.

-Tarikh efektif cadangan ini adalah pada 11 Oktober 2019. Bermakna ia sudahpun dilaksanakan.

-Satu persoalan yang mungkin belum ada jawapan tepat adalah bagaimana atau siapa yang berhak menentukan nilai pasaran? Setakat ini apa yang kita tahu LHDN akan mengambil nilai pasaran hartanah dari JPPH.

2. DERMA DAN SUMBANGAN

-Derma dan sumbangan yang boleh dibenarkan untuk tolakan cukai bagi individu kini dinaikkan kadarnya kepada 10% daripada pendapatan agregat berbanding hanya 7% sebelum. Kadar baru ini adalah sama dengan kadar yang dibenarkan bagi sesebuah syarikat.

-Cadangan ini meningkatkan ruang untuk pembayar cukai individu memberikan sumbangan sama ada derma tunai atau barangan. Ia berkuatkuasa bermula tahun taksiran 2020.

3. YURAN PENJAGAAN ANAK

-Potongan cukai ditambah daripada RM 1,000 setahun kepada RM 2,000 setahun bagi yuran penjagaan anak-anak di nurseri, taska, tadika dan sebagainya.

-Ia sememangnya sesuatu yang diharapkan kerana kos penjagaan sebenar anak-anak di bandar khasnya semakin meningkat antara RM400-RM700 setiap bulan untuk seorang anak.

4. KADAR PENALTI LEBIH RENDAH

-Penurunan kadar penalti bagi mereka yang gagal menjelaskan cukai atau baki cukai dalam tempoh ditetapkan. Kini ianya dikenakan penalti sekali sahaja iaitu 10% tanpa ada tambahan 5% lagi penalti. Ia kekal pada kadar tersebut sekalipun tempoh 30 hari untuk menjelaskan bayaran baki cukai telah tamat.

-Ia baik kepada para pembayar cukai yang berhadapan dengan masalah aliran tunai ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ia juga memudahkan pengurusan pengiraan cukai.

5. KADAR CUKAI BARU GOLONGAN KAYA

-Kadar cukai lebih tinggi kepada golongan ‘super rich’ yang pendapatan bercukai tahunannya berjumlah RM 2,000,000 dan ke atas iaitu 30% berbanding 28% sebelum ini. Kenapa ianya termasuk dalam berita baik bukan sebaliknya?

-Ini mungkin langkah awal dalam mengurangkan jurang kekayaan dan memastikan matlamat kemakmuran bersama dapat dicapai.

-Dalam pada itu, kita berharap pada masa akan datang ini menjadi titik tolak untuk penurunan kadar cukai bagi golongan pertengahan yang memiliki pendapatan bercukai di antara 100 ribu – 200 ribu setahun.

6. PENJIMATAN CUKAI SYARIKAT SME

-Bagi pemilik syarikat berstatus SME kadar cukai korporat adalah bermula dari 17% dan dalam belanjawan kali ini, kerajaan telah meningkatkan had bagi pendapatan bercukai SME daripada RM500,000 kepada RM 600,000 bagi pendapatan yang dikenakan cukai pada kadar 17%.

-Ia mampu memberikan penjimatan cukai sebanyak RM 7,000 bagi SME yang layak kerana kali ini ia hanya diberikan kepada syarikat yang hasil jualan tidak lebih RM 50 juta setahun.

7. POTONGAN UNTUK RAWATAN IVF

-Masalah kegagalan mendapatkan zuriat adakalanya menagih kos rawatan yang tinggi. Kini bagi rawatan IUI dan IVF atau lain-lain rawatan berkaitan termasuklah kos perundingan serta ubat ianya dibenarkan sebagai salah satu pelepasan cukai.

-Kos rawatan ini termasuk dalam pelepasan rawatan penyakit serius berjumlah RM 6,000. Justeru pelepasan cukai ini terhad kepada jumlah tersebut.

-Kos ini boleh dituntut hanya kepada pasangan yang telah berkahwin dan boleh dituntut oleh suami atau isteri berdasarkan nama dalam resit bayaran perubatan.

8. ELAUN MODAL ASET NILAI RENDAH

-Elaun modal bagi aset kecil (small value assets) boleh dituntut sepenuhnya dalam tahun semasa. Jika sebelum ini ianya terhad kepada sesuatu aset yang bernilai tidak melebihi RM 1,300 setiap satu, kini ianya ditingkatkan kepada RM 2,000 setiap satu.

-Impak baiknya adalah jumlah maksimum tuntutan juga dinaikkan dari RM 13,000 setahun kepada RM 20,000.

-Ini wajar kerana kini RM 2,000 bukan lagi satu amaun besar dan apa yang menarik, langkah ini akan membantu memperbaiki aliran tunai pembayar cukai dengan potensi cukai yang lebih rendah.

9. BAYARAN BALIK PTPTN OLEH MAJIKAN

-Majikan terus diberi galakan untuk membantu menjelaskan bayaran balik PTPTN pekerja mereka. Jika sebelum ini potongan cukai hanya untuk bayaran dibuat pada tahun 2019, belanjawan 2020 mencadangkan tempoh yang lebih lama iaitu sehingga 31 Disember 2021.

-Menariknya selain majikan berhak menuntut belanja ini sebagai satu tolakan cukai, para pekerja terbabit juga tidak dikenakan cukai atas manfaat pekerja yang diterima dalam bentuk bayaran balik PTPTN ini.

10. WANITA KEMBALI BEKERJAYA

-Wanita yang kembali ke pasaran pekerjaan akan dikecualikan cukai ke atas gaji yang diterima bagi tempoh 12 bulan berturut-turut.

-Inisiatif ini telah dipanjangkan tempohnya sehingga tahun taksiran 2024 berbanding sebelum hanya sehingga tahun taksiran 2020.

-Pendaftaran dengan pihak Talent Corp juga masih boleh dibuat sehingga 31 Disember 2023. Nampaknya wanita malaysia punya banyak masa untuk memikirkan peluang ini dan membuat keputusan yang terbaik.

11. YURAN SETIAUSAHA SYARIKAT DAN PERUNDING CUKAI

-Bagi syarikat, tolakan cukai bagi 2 perbelanjaan ini sememangnya sudah dibenarkan iaitu yuran setiausaha syarikat berjumlah RM 5,000 dan yuran perunding cukai pula terhad kepada RM 10,000.

-Dengan cadangan menggabungkan kedua-dua perbelanjaan pada jumlah amaun yang sama iaitu terhad RM 15,000 bermula tahun taksiran 2020, ia memberikan fleksibiliti dan meningkatkan keberangkalian untuk tuntutan maksimum.

-Terdapat beberapa insentif dan berita baik yang boleh anda perolehi khasnya bagi pelaburan dalam teknologi hijau serta industri pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Ambil tahu, fahaminya dan rebut peluang ini sebelum terlambat.

Moga bermanfaat.

Khairul Amal Hashim
Chartered Tax Practitioner
Zahar Advisory Group

Okt 16,2019

 

KLIK DI SINI DAN DAFTAR DI WEB PEJUANG HARTANAH! DAPAT ILMU KEWANGAN DAN HARTANAH!! FREE JERRR!!

Tag:

Kongsikan Artikel Ini Di Media Sosial:

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp