fbpx

Flow Pembiayaan Beli Rumah

1. Peguam dan urusan pinjaman perumahan adalah suatu perkara yang sukar dipisahkan. Kebanyakan Bank pembiaya mewajibkan penggunaan panel peguam dalam menguruskan dokumentasi pinjaman perumahan antara peminjam/pembeli dengan Bank yang terlibat.

2, Pemilihan peguam yang berpengalaman dan telus adalah penting bagi suatu proses urusan pinjaman perumahan.

3. Pinjaman perumahan bagi setiap bank pembiaya akan bermula dengan proses Surat Tawaran Pinjaman Perumahan (Letter of Offer). Letter of Offer merupakan suatu tawaran pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh pihak bank kepada peminjam/pembeli berdasarkan pelbagai faktor terutamanya tangga gaji, sejarah hutang seseorang individu, penggunaan kad kredit, simpanan dan sebagainya.

4. Pegawai bank akan mengeluarkan Letter of Offer bagi pembelian hartanah yang dikehendaki peminjam dan ianya perlu ditandatangani peminjam dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak Bank.

5. Setelah Peminjam menandatangani Letter of Offer, pihak Bank akan melantik panel peguam bagi menguruskan dokumentasi pinjaman perumahan antara peminjam dan bank yang terlibat. Menjadi satu kelaziman bagi pihak bank untuk hanya melantik peguam panel yang tersenarai sahaja kecuali terdapat permintaan berasingan daripada pihak peminjam. Walau apa pun, pihak peminjam juga mempunyai hak dalam menentukan peguam yang akan dilantik untuk menguruskan proses undang-undang pinjaman perumahan mereka.

5. Peguam yang dilantik kemudian akan menerima arahan daripada pihak Bank melalui Surat Arahan (Letter of Instruction). Tujuan surat tersebut adalah untuk memberi arahan kepada peguam yang dilantik untuk menyediakan dokumen pinjaman perumahan mengikut jenis kelulusan surat tawaran yang disediakan. Tambahan pula dokumen pinjaman perumahan adalah berbeza mengikut jenis pinjaman, tujuan pinjaman, jumlah pinjaman dan sebagainya.

6. Dalam pada itu, pihak peguam akan menghubungi peminjam bagi menetapkan tarikh dan masa temujanji bagi proses menandatangani dokumen pinjaman perumahan. Antara dokumen yang akan disediakan adalah Perjanjian Pinjaman Perumahan, Borang Gadaian, dan sebagainya.

7. Pertemuan diantara peguam dan peminjam ini sangat penting bagi urusan dokumentasi pinjaman dan bagi memastikan peminjam benar-benar faham berkenaan pinjaman yang diambil dan urusan/proses pinjaman berlangsung.

8. Menjadi kelaziman pada peringkat ini, peminjam akan mengajukan beberapa soalan kepada peguam bagi meleraikan persoalan / kemusykilan yang ada terutama para peminjam yang merupakan pembeli rumah pertama.

9.Seterusnya, peguam akan memajukan dokumen pinjaman perumahan yang telah ditandatangani peminjam kepada pihak Bank bagi proses semakan dan tandatangan wakil/pegawai Bank (Bank’s Attorney). Biasanya proses ini akan mengambil masa selama satu hingga dua minggu mengikut kepada jenis pinjaman yang dibuat.

10. Setelah wakil bank menandatangani dokumen pinjaman perumahan, dokumen tersebut akan dipulangkan kepada peguam bagi urusan adjudikasi atau lebih dikenali sebagai urusan penyeteman di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

11.Disamping itu, menjadi amalan biasa bagi pihak peguam untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang terlibat bagi urusan pendaftaran pindahmilik dan gadaian di Pejabat Tanah mengikut jenis hartanah yang dibeli.

12.Sebahagian hartanah yang mana nombor hakmiliknya bermula dengan Geran (GRN), Pajakan Negeri (PN) dan Hakmilik Sementara (Daerah)(HS(D)), proses pendaftaran akan dilaksanakan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri.

13. Manakala nombor hakmilik yang bermula dengan Geran Mukim (GM), Pajakan Mukim (PM) dan Hakmilik Sementara (Mukim)(HS(M)), proses pendaftaran bagi pindahmilik dan gadaian akan dilaksanakan di Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) mengikut daerah yang terlibat.

14. Setelah pendaftaran dibuat, pihak pejabat tanah akan menyerahkan slip perserahan (presentation slip) sebagai bukti urusan daftar telah dilaksanakan.

15. Setelah peguam menerima Slip Perserahan diatas, peguam akan terus menyediakan Nasihat Pengeluaran Pembiayaan (Advice of Release).

16. Peringkat ini merupakan peringkat yang sangat penting bagi memastikan duit pinjaman perumahan dapat dikeluarkan oleh Bank kepada penjual atau peguam penjual (stakeholder) dalam masa yang ditetapkan. Kemahiran peguam juga sangat diperlukan di peringkat ini bagi memastikan kepentingan pembeli dan bank pembiaya sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan dan untuk menangani apa-apa isu tidak dijangka yang boleh timbul dalam sesebuah kes.

17. Secara umumnya sesebuah urusan pinjaman perumahan dapat diselesaikan melalui prosedur yang telah dinyatakan di atas.

18. Namun, harus diingat bahawa setiap kes adalah berbeza. Ia tampak mudah tetapi setiap urusan yang berlaku ke atas hartanah tersebut akan tertakluk kepada undang-undang hartanah di setiap negeri.

19. Oleh itu, pemilihan peguam yang betul akan memastikan proses pinjaman perumahan ini akan berjalan dengan lancar.

Apr 7,2020

 

KLIK DI SINI DAN DAFTAR DI WEB PEJUANG HARTANAH! DAPAT ILMU KEWANGAN DAN HARTANAH!! FREE JERRR!!

 

MOHAMMAD MUZAMMIL BIN MOHD NAZLI
NAZRI AZMI ISLINDA
Bdr Sri Permaisuri, Cheras.
www.nazrilaw.com.my

Tag:

Kongsikan Artikel Ini Di Media Sosial:

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp