fbpx

5 Panduan Kekal Istiqomah Selepas Ramahdan & Syawal

Hari ini merupakan hari terakhir Syawal pada tahun ini. Sudah tentu meninggalkan kesan mendalam kepada kita dalam memanfaatkannya dengan ibadah dan amalan soleh, manakala hasil asuhannya diharap mampu membimbing kita mengharungi 11 bulan akan datang. Ramadan yang berlalu banyak memupuk keimanan melalui didikan fizikal dan spiritual. Fizikal orang berpuasa lebih baik daripada orang yang perutnya sentiasa kenyang. Rasulullah SAW sering memilih berpuasa atau mengosongkan perutnya untuk tujuan beribadah kepada Allah SWT. Baginda menyatakan perut kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu. Segala kerosakan dan kebinasaan manusia didorong oleh hawa nafsu yang tidak terkawal. Allah SWT berfirman “Sesungguhnya nafsu manusia sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf: 53)
.
Sering berlaku apabila Ramadan sudah berlalu, segala rutin ibadah yang sebati dalam diri semasa di bulan ramadhan telah bertukar kembali seolah-olah bulan itu tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah menjadi asing pada diri kita, al-Quran mula ditinggalkan, silaturahim sesama jiran tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi. Jika pada bulan Ramadan kita selalu berzikir, berwirid dan mengingati Allah SWT dengan membaca al-Quran hingga khatam, mengapa kita tidak mampu membaca dan mentadabburnya walau 5 minit sehari? Jika dibulan Ramadan, kita boleh bertahajud di sepertiga malam, mengapa sekarang kita berat untuk bangun walaupun sekadar untuk menunaikan dua rakaat solat sunat? Begitu juga dengan sedekah, derma dan memberikan makan kepada fakir miskin atau konsisten solat berjemaah bersama ahli keluarga. Segala amalan baik sepanjang Ramadan menuntut istiqamah dalam pelaksanaannya. Tanamkan azam untuk meneruskan segala amalan. Perasaan sedih meninggalkan Ramadan dan harapan untuk bertemu lagi bulan Ramadan pada tahun hadapan ialah fitrah jiwa manusia yang cintakan amal soleh.
.
Sebagai umat Islam, kita perlu bermuhasabah kedudukan kita hari ini. Sewajarnya semangat dan kesungguhan kita dalam mentaati perintah Allah SWT sepanjang Ramadan lalu diteruskan di sepanjang hidup kita di dunia ini. Itulah matlamat Ramadan sebenarnya, iaitu membentuk insan bertakwa. Ulama ada memberikan lima panduan untuk kita istiqamah dalam beramal soleh dalam kehidupan seharian kita didunia ini:
1. Sentiasa memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan dilakukan.
Muhasabah diri mengapakah semangat kita beramal soleh dalam Ramadan lebih hebat berbanding keadaan kita pada bulan lain? Adakah kita beramal hanya kerana disebabkan Ramadan? Sekiranya amal soleh kita lakukan ikhlas kerana Allah SWT, sepatutnya segala kebaikan dilaksanakan sepanjang masa dalam kehidupan kita.
2. Perbanyakkan berdoa kepada Allah S.W.T .
Banykkan berdoa agar dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan godaan iblis dan syaitan. Rasulullah SAW sering berdoa seperti diriwayatkan Shahar Haushab RA: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamamu.” (HR Tirmizi)
3. Berusaha mencari sahabat yang suka melakukan kebaikan.
Teman baik amat penting dalam proses perubahan diri kerana mereka akan sentiasa mengajak untuk melakukan kebaikan, bahkan menegur kesalahan kita lakukan.
4. Hayatilah sirah Nabi SAW dan kehidupan sahabat Baginda.
Walaupun ada kalangan mereka dijamin syurga, tetapi anugerah itu tidak menjadikan mereka bermalas-malasan atau berehat di rumah bahkan tetap bersungguh-sungguh beramal serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
5. Mulakan amal soleh secara berperingkat-peringkat, tetapi berterusan.
Bermula dengan jumlah sedikit atau peringkat yang rendah secara perlahan-lahan dan berterusan (istimrar). Sayidatina Aisyah RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Amalan paling dicintai Allah SWT ialah amalan berterusan walaupun sedikit.” (HR Muslim).
.
Kesimpulannya, beramal dengan penuh ikhlas merupakan kewajipan seseorang kerana ia merupakan syarat suatu amal diterima Allah SWT. Segala amal soleh sepanjang Ramadan perlu diteruskan dengan konsisten sepanjang hidup kita. Firman Allah SWT mengatakan: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan kepada sesiapa dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia besar.” (Al-Hadid: 21). Semoga amalan kita sepanjang kita hidup ini di terima olehNYa dan moga kita juga tidak lalai dengan keindahan alam ciptaanNya.
.
AHYAT RASA TAK ADA MASALAH UNTUK KITA KEKAL ISTIQAMAH SELEPAS RAMADAN, SYAWAL DAN BULAN2 SETERUSNYA BETUL TAK? LAGI2 MASA PKP NI KITA TINGKATKAN IBADAH! JOM SHARE JIKA BERMANFAAT!
.
Sumber: bharian.com.my

 

KLIK DI SINI DAN DAFTAR DI WEB PEJUANG HARTANAH! DAPAT ILMU KEWANGAN DAN HARTANAH!! FREE JERRR!!

Tag:

Kongsikan Artikel Ini Di Media Sosial:

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp